LAPORAN JALINAN MASYARAKAT
HARI PERTAMA
( JUMAAT
- 14 APRIL 2017)
Hari ini merupakan hari pertama program Kem Jalinan Ukhuwah yang
dianjurkan oleh pelajar-pelajar tahun 1, Jabatan Syariah & Pengurusan (JSP)
APIUM yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur
(SMKAKL). Sekolah ini terletak di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur.
Pada jam 9.00 pagi, kami menghantar barang-barang yang diperlukan
sepanjang kem ke SMKAKL dengan menaiki kereta yang dibawa oleh Farid.
Barang-barang tersebut dipindahkan dan disimpan di dalam koperasi sekolah
tersebut. Kemudian pada jam 11.30 pagi, kami pelajar-pelajar tahun 1 JSP telah
berkumpul di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sebelum bertolak bersama-sama
ke SMKAKL. Sebanyak 6 buah kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan kami
ke SMKAKL, yang terdiri daripada 3 buah kereta, 1 van dan 2 motorsikal. Tepat
jam 12 tengah hari, kami mula bergerak ke SMKAKL. Alhamdulillah perjalanan kami
ke sana berjalan dengan lancar dan selamat. Kami mengambil masa lebih kurang
setengah jam untuk sampai ke sekolah tersebut. Setelah itu, kami mengambil
barang-barang yang kami perlukan pada hari tersebut dari koperasi untuk dibawa
ke dewan. Kami mula mengemas dewan tersebut dengan menyapu sampah dan memasang
banner di atas pentas. Kemudian fasilitator lelaki bersiap-siap untuk ke Masjid
Al-Imam Al-Ghazali bagi menunaikan solat jumaat. Sementara itu, fasilitator
perempuan masih meneruskan kerja mengemas dewan dan membuat persiapan untuk
pendaftaran di dalam dewan.
Pada jam 2.30 petang, sesi pendaftaran bermula.
Kesemua pelajar tingkatan 1 SMKAKL turun ke dewan untuk mendaftar dan dibahagikan
mengikut kumpulan yang telah kami tetapkan. Kemudian, sesi ice-breaking
dijalankan di bawah pimpinan Muaz dan Arif. Semua fasilitator diperkenalkan
seorang demi seorang beserta nama panggilan masing-masing kepada para pelajar.
Alhamdulillah kedatangan kami mendapat sambutan yang baik daripada semua
pelajar yang kelihatan ceria pada ketika itu.
Para fasilitator duduk bersama ahli kumpulan
masing-masing, lalu diteruskan lagi dengan sesi suai kenal dengan lebih
mendalam bersama pelajar. Setelah selesai sesi suai kenal tersebut, kami
mengadakan sedikit permainan yang dinamakan One Four Step yang dibimbing oleh
para fasilitator. Kemudian semua pelajar dan fasilitator menunaikan solat asar
berjemaah di surau yang diimami oleh pelajar. Pada jam 5.30 petang, pelajar
berkumpul semula di dewan untuk aktiviti yang seterusnya. Kem ini diteruskan
dengan break clap yang dibimbing oleh Arif serta dibantu oleh para fasilitator
yang lain. Alhamdulillah semua pelajar dapat mengikut setiap langkah dalam
break clap yang kami tunjukkan kepada mereka. Seterusnya, lagu tema kem ini,
iaitu lagu ‘One Big Family’ – (Maher Zain) dipasang dan diperdengarkan kepada
para pelajar. Kelihatan mereka begitu bersemangat apabila mendengar lagu tema
ini.
Pada jam 6.15 petang, para pelajar dibenarkan pulang ke asrama bagi
persiapan kendiri serta menikmati makan malam di dewan makan. Para fasilitator
juga turut makan di dewan tersebut. Kemudian para pelajar dan fasilitator
menunaikan solat maghrib berjemaah di surau. Setelah solat, semua pelajar
tingkatan 1 berkumpul di dewan bagi mendengar tazkirah maghrib daripada saudara
Muaz. Para pelajar mendengar dengan teliti setiap tazkirah dan nasihat yang
disampaikan kepada mereka. Kemudian kami menunaikan solat isyak berjemaah di
surau.
Pada jam 9.15 malam, kami meneruskan aktiviti dengan Latihan Dalam Kumpulan
(LDK) yang dipimpin oleh Muaz. LDK ini dinamakan kerusi ajaib dan ia melibatkan
pergerakan yang pantas, serta memerlukan kerjasama daripada semua ahli
kumpulan. Alhamdulillah permainan ini dapat berjalan seperti yang dirancang
tanpa berlaku sebarang kecederaan. Para pelajar tampil dengan penuh bersemangat
dan menunjukkan persaingan yang sihat sepanjang LDK ini. Apabila sudah tamat
permainan kerusi ajaib ini, kami meminta 2 orang pelajar untuk memberikan
sedikit pengajaran yang diperoleh daripada permainan tersebut.
Seterusnya, kami
memasang semula lagu tema sambil menunjukkan pergerakan yang diperlukan bagi mengiringi
lagu tersebut. Para fasilitator membimbing dan mengajar kesemua pelajar setiap
pergerakan dan gaya dalam lagu itu. Kemudian sedikit energizer dilakukan iaitu
break clap yang dibimbing oleh Arif. Setelah itu, sedikit taklimat diberikan
oleh Muaz dan Farid mengenai aktiviti pada keesokkan harinya. Para pelajar
dibenarkan pulang ke asrama masing-masing pada jam 10.15 malam. Kami para
fasilitator masih kekal di dalam dewan untuk memberi sedikit pencerahan kembali
mengenai perjalanan aktiviti pada keesokan hari. Pada jam 11.00 malam, kami
bersurai dan pulang ke bilik.


Seronok dapat jadi fasilitator untuk adik-adik SMAKL 😍
ReplyDeleteTerbaik semua adik-adik SMKAKL
ReplyDeletesemue baik2..paling terbaik DELIMA (:
ReplyDeleteAlhamdulillah... Semua hebat2. Moga Kita semua mampu menjadi khalifah yang hebat.
ReplyDeleteFasi Muaz hensem sangat
ReplyDelete